Notis Hak Cipta

PERHATIAN:
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada JUITA MUSA. Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog JUITA MUSA ini. Harap maklum. Terima kasih. © JUITA MUSA


Sunday, October 24, 2010

WANITA DAN FITNAH DAJAL


“Wanita adalah perangkap syaitan”. Kalimah seorang sufi, iaitu Basyir Al-Hafi di dalam kitab Kasyful Khafa, menggambarkan bahawa wanita mempunyai pelbagai kekangan, hatta masalah berkaitan wanita sehingga ke hari ini tidak pernah terhenti, bahkan  pelbagai senario berkenaannya diperkotak-katikkan dengan sewenang-wenangnya. Bertambah malang apabila golongan Barat memperakukan wanita seperti ‘menggenggamkan air di dalam tangan’ kerana dengan mudah mereka memanipulasi berjuta-juta wanita seantero dunia dengan pandangan penuh nafsu menyebabkan mereka menjadi dambaan nafsu mata-mata syaitan. Saidina Ali Bin Abi Talib KWH pernah menukilkan; “Apabila wanita mencintaimu maka dia akan menyusahkanmu, sebaliknya apabila dia membencimu, maka dia akan mengkhianatimu, kemungkinan besar akan membunuhmu”. Kesimpulannya, pengaruh wanita dalam kehidupan dunia begitu besar sehinggakan mereka mampu membunuh jiwa-jiwa yang kekontangan iman dan takwa.

WANITA DIEKSPLOITASI


Wanita sinonim dengan fitnah kerana kebanyakan wanita kini hidup dalam aliran hedonisme yang membawa mereka ke lembah kehinaan, bermacam fitnah, godaan, bencana dan ujian yang sentiasa menyelimuti wanita dalam masyarakat moden yang jauh dari petunjuk dan sinar Allah sehingga mereka tidak segan silu melakukan sesuatu di luar batasan Islam. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Aku pernah melihat neraka, maka aku saksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita” - Hadith riwayat Muslim.

Wanita dieksploitasi melalui pelbagai cabang yang menjurus kepada fenomena yang mengghairahkan sehingga memungkinkan mereka difitnah dan taraf mereka seolah-olah telah dirundumkan dengan andaian-andaian, hatta mereka sendiri tidak menjaga kehormatan dan sanggup menjaja diri-sendiri seakan tiada maruah diri. Apa sudah jadi dengan wanita akhir zaman ini? Adakah mereka akan kembali seperti zaman Jahiliah kuno yang suka mempamerkan kecantikan, jahil dengan maksiat, naïf, suka mempamerkan pakaian bagaikan barangan yang tidak laku lagi murahan yang dijajakan di kebanyakan tempat, malah tidak bernilai sekali tanpa mempunyai kehormatan dan tidak mempunyai agama? Sedangkan, wanita muslimah begitu terjaga dengan nilai-nilai agama, bahkan mereka hidup atas nama Islam yang menjadikan mereka lebih bernilai dari segala-galanya. Tidakkan ada wanita solehah di setiap corong kemanusiaan? Lantas, tidakkah wujud muslimah sejati di seantero dunia yang semakin menggila dengan ‘fitnah dajal’?

“Sesungguhnya, wanita adalah susuk yang menggoncang ayunan dengan tangan kanannya dan menggoncang dunia dengan tangan kirinya”. Namun, sekadar itukah yang berlaku? Wanita jelas diperhambakan dengan dunia kecantikan. Memperaga diri sesuka hati sehingga hukum-hakam diperlekahkan. Menjaja diri di jalanan teknologi. Mendedahkan aurat di sana-sini tanpa rasa segan terhadap status yang bergelar wanita Islam, sedangkan mendakwa diri beriman dan patuh suruhan agama, namun berlaku sebaliknya.

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau datuk mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak saudara lelaki suami mereka, atau adik-beradik lelaki mereka, atau adik-beradik perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang beriman, agar kamu beruntung”. – an-Nur: 31

ISLAMIC FASHION FESTIVAL (IFF) DIANGGAP ‘THE BOOM’?


“….dan janganlah kamu berhias dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliah dahulu…”. – al-Ahzab: 33

Kontroversi yang berlaku di Malaysia tentang ‘Islamic Fashion Festival’ cukup memalukan dan mengaibkan para wanita. Bahkan, lebih menghairankan apabila ketimpangan dan gambaran sedemikian terjadi terhadap golongan wanita Islam yang lahir dari roh Islam yang telah meresap dalam nadi mereka sejak lahir, malah mereka telah meraup selok-belok agama Islam dan merasakan asam garam dalam kehidupan umat Islam. Masih ingatkah kita akan kontoversi yang telah berlaku terhadap wanita genius matematik yang dieksploitasi oleh golongan kufar, sekaligus menjadikan golongan wanita sebagai ikon maksiat? Bukan sahaja mengelirukan umat Islam yang cetek pengetahuannya tentang ilmu agama, tatatertib dan kedaulatan Islam, malah menghina Nabi Muhammad s.a.w dengan mempamerkan gambaran kalimah "محمد"  dalam keadaan terbalik. Cukuplah penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w di lakaran kartun, di dada-dada akhbar luar negara, bahkan di coretan kehidupan lakonan dalam filem-filem Barat yang mengaibkan. Inilah fenomena kelalaian dan ketidakpedulian serta kurangnya mereka menguasai konsep keseimbangan sebenar yang ditonjolkan Islam bagi manusia dan kehidupan serta alam semesta yang setiapnya mempunyai hak dan kedudukan masing-masing. Bahkan, resapan dari curahan nafsu syaitan yang mendambakan anak cucu adam tergelincir dari landasan iman sehingga pengaruhnya digarap dalam metod yang bersemi.

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini.”. - Hadith riwayat Muslim

Perkembangan fesyen Islamik kontemporari kononnya secara alternatif telah membuka ruang para orientalis barat untuk meresapkan unsur kebaratan dalam konsep pakaian menurut Islam yang sebenar. Penentangan Islam secara halus telah memberi impak negatif yang mendalam terhadap jiwa umat Islam. Bahkan, jika diletak taraf hukum terhadap pakaian tersebut yang kononnya busana muslimah mengikut panduan Islam, maka ia menunjukkan kejahilan yang nyata tentang hakikat nilai-nilai Islam. Busana yang diperagakan seolah-olah mempersendakan hukum-hakam yang ditetapkan oleh Islam. Tiada lagi istilah halal dan haram, sebaliknya mereka obses mengekspresi diri dengan busana menggunakan nama Islam sehingga keadaan pemikiran umat Islam menjadi bertambah buruk dengan konsep yang diterapkan.

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang-orang mukmin, hendaklah mereka menutupkan jilbabnya (yang menutup kepala, wajah dan dada) ke seluruh tubuh mereka”.- al-Ahzab: 59

Modenisasi dalam dunia fesyen mengalami perubahan besar terhadap gaya hidup Islam semata-mata memuaskan nafsu manusia untuk dilihat lebih ghairah dengan kecantikan. Pencetus kepada keruntuhan sosial Islam menjerat pemahaman umat Islam untuk memperbetulkan kebanyakan pemikiran barat yang berleluasa di dalam suasana, sosial budaya, tamadun, sejarah dan pemikiran. Secara totalnya, manusia kini dikuasai dan dipandu oleh kuasa barat yang mengancam dan merendahkan martabat Islam.

“Dan pada hari itu (padang Mahsyar) engkau akan melihat orang yang berdosa bersama-sama diikat dengan belenggu”. Ibrahim: 49

ADUHAI WANITA…

“Belum tibakah waktu bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah untuk mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka berlaku seperti orang-orang yang menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak antara mereka menjadi orang-orang yang fasik”. Al-Hadid: 16

Kaum wanita kini seakan mengharapkan nur jatuh ke riba tanpa berusaha memperbaiki diri-sendiri. Malah, lebih mengutamakan kebanggaan diri, kepujian yang dilambung tinggi, mendambakan keseronokan duniawi dan berharap kekal kecantikan yang dimiliki. Sebaliknya, wanita yang bersyukur dengan jati dirinya sebagai muslimah yang berpijak pada kekuatan iman dan kejernihan pengabdian kepada Allah Taala begitu memahami tujuan hidupnya. Nescaya, golongan wanita sedemikian akan merasakan bahawa mereka adalah wanita yang paling bahagia dan terjaga dari kancah kehinaan dan maksiat kerana iman yang tinggi serta keyakinan yang kuat terhadap Allah Taala akan menjadi benteng kepada pengaruh maksiat. Malah, wanita yang berpijak dengan lembaran keimanan dan ketakwaan menuntutnya untuk tetap mengukuhkan keperibadiannya tidak kira di kondisi apapun yang dihadapi akan terselamat dari igauan fitnah dajal.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka menyembah-Ku”. – Az-Zariyat: 56.

Hakikatnya, setiap insani berkewajipan untuk meningkatkan rohaninya dengan sinar nurani dan membersih jiwa daripada segala perkara yang mendorong mereka kepada timbulnya noda-noda hitam yang menyelubungi hati mereka sehingga mereka melupai diri-sendiri.

 “Dan jiwa serta penyempurnaannya (diciptakan-Nya). Maka, Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Dan sesungguhnya, rugilah orang yang mengotorinya”. - Asy-Syams: 7-10

Anugerah tidak ternilai yang dikurniakan kepada wanita adalah mengandungkan zuriat sebagai penyambung kepada generasi Islam, namun adakah didikan yang diberikan kepada generasi mereka diterapkan dengan nilai-nilai Islam? Walhal banyak senario ibubapa yang gagal mengisi ilmu pengetahuan Islam dalam titipan kehidupan generasi mereka. Sebaliknya, kesedaran dengan petunjuk agama yang sentiasa mengembangkan pemikirannya dengan ilmu agama yang menambah khazanah keilmuannya akan mendidik dan menjaga generasi Islam dengan penuh dedikasi dan akan terlahirlah generasi lelaki dan wanita, muslim dan muslimah serta soleh dan solehah.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Dunia adalah perhiasan. Dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah”. - Hadith riwayat Muslim

Para wanita berperanan mencipta sesuatu yang diredhai Allah, bukan menjadikan dirinya suatu ikon jahiliah kontemporari sehingga keperluan dan ketetapan Islam terpisah dalam kehidupan mereka. Maka, perlu ada dalam diri wanita itu untuk mewujudkan konsep kesedaran dengan tafsiran yang benar dan bersesuaian dengan fitrah Islam, bukan apa yang dilihat dari pemikiran yang singkat, kehidupan yang berlandaskan nafsu, cita-cita mereka untuk mencintai dunia dan pegangan yang berubah-ubah mengikut arus semasa sehingga mengabaikan Islam.

KISAH TAUBAT WANITA

Kisah wanita dari Juhaniayah yang tergelincir dalam hidupnya dan beliau berzina, kemudian beliau mengingati Allah s.w.t, lantas bertaubat kepada-Nya. Beliau menghadap Rasulullah s.a.w agar segera dihukum rejam supaya beliau terlepas dan suci dari dosa yang telah dilakukannya, sedangkan ketika itu, beliau datang kepada Rasulullah s.a.w dalam keadaan hamil hasil penzinaannya, seraya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melanggar satu hukum had, maka hukumilah aku! Kemudian, Rasulullah s.a.w memanggil walinya seraya bersabda: “Berlaku baiklah kepadanya. Apabila beliau telah melahirkan, maka bawa beliau kemari lagi.”

Akhirnya, ketika wanita itu kembali lagi, maka Rasulullah s.a.w memerintahkan agar wanita itu direjam dan beliau mati atas hukuman tersebut. Setelah itu, baginda solat atas jenazahnya. Melihat kepada hal tersebut, Umar r.a bertanya: “Adakah engkau solat ke atasnya, sedangkan beliau telah melakukan zina? Maka, baginda menjawab: “Sesungguhnya beliau telah bertaubat, yang mana (pahala) taubatnya dibahagi untuk tujuh puluh orang penduduk Madinah, nescaya akan mencukupinya. Adakah engkau menemukan yang lebih baik daripada penyerahan jiwa kepada Allah Taala?”

“Penzina perempuan dan penzina lelaki, deralah masing-masing dari keduanya seratus kali, dan janganlah rasa belas kasihan kepada keduanya mencegahkan kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian; dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman”. – an-Nur: 2

Sesungguhnya, apa yang dilakukan terdorong oleh kekuatan iman wanita itu sehingga beliau begitu berani membersihkan diri dan memilih pahala dikemudian hari daripada kesenangan dunia yang segera. Seandainya beliau seorang wanita yang tidak kuat imannya, nescaya beliau tidak akan memilih mati melalui hukuman rejam. Bahkan, kemungkinannya ada yang akan bertanya, kenapa beliau sanggup melakukan zina, sedangkan perbuatan terkutuk itu berlaku terhadap orang yang lemah imannya? Walau bagaimanapun, dapat dikatakan bahawa sesungguhnya manusia itu ada kalanya lemah, inikan pula seorang wanita yang diciptakan dengan fitrah manusia yang lemah, sehingga mereka terabai dan lara dalam perbuatan yang dilarang.

Sebaliknya, ketika benih keimanan tumbuh dalam hati manusia dan menjadi pohon yang mempunyai akar tertancap kuat, ia akan menampakkan kemurnian dan keyakinan dalam kehidupan. Malah, golongan wanita yang sentiasa mengingatkan dirinya jauh dari segala kealpaan akan bertambah sinar iman di setiap lorong kehidupannya.

WANITA MUSLIMAH DAMBAAN ISLAM

Wanita dan fitnah dajal berjalan seiringan tatkala mereka alpa terhadap kebutuhan akalnya yang harus diasah dengan ilmu-ilmu agama dan dipraktik dengan tatatertib Islam, namun gagal membentuk keperibadian dan akhlaknya, lalai menjaga psikologi jiwa dan akalnya. Sebaliknya, wanita yang bergelar muslimah pada generasi terbaik tidak akan ragu-ragu dalam menjalani kehidupan dan mereka telah jelas menapaki jalan ilmu dan sentiasa memerhatikan petunjuk Islam tentang bekal akalnya, jiwa dan sosialnya.

“Pada hari engkau akan melihat orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di depan dan di samping kanan mereka, (dikatakan kepada mereka), “Pada hari ini ada berita gembira untukmu, iaitu syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung”. Al-Hadid: 12

Selain itu, wanita umumnya mempunyai banyak perbezaan dari segi keterampilan yang ditonjolnya. Islam jelas menyeru kepada wanita supaya menjaga penampilan mereka kerana setiap perjalanan mereka telah dikaburi dengan sayap-sayap syaitan yang akan membawanya kepada fitnah yang bertebaran. Maka, wanita muslimah tidak akan mengabaikan dirinya dan perlu mengambil cakna terhadap penampilan lahiriah yang baik dan dibekali dengan sakhsiah batiniah yang jitu. Bahkan, mereka sentiasa menyelaraskan antara penampilan lahiriah dan batiniah, juga mereka mengetahui dan sedar bahawa dirinya terdiri dari jasad, akal dan roh, hatta mereka memberi hak-haknya kepada ketiga elemen tersebut secara berhikmah, tanpa mengabaikan salah satu sisi sekaligus tidak melupakan yang lain kerana keseimbangan sedemikian merupakan petunjuk Islam yang suci.

Jalan yang ditempuhi wanita untuk mencapai puncak kesolehan, ketakwaan, kesedaran dan kematangan dalam beragama adalah menghirup nur hidayah dari sinar kitabullah dengan penuh penghayatan sehingga maknanya menyentuh akal dan perasaan mereka, sementara hatinya dapat menggapai kebeningan sinar dari meratib zikrullah yang terang-benderang. Demikian wanita muslimah yang mampu menggoncang dunia dengan bekalan addin yang mantap serta mampu mempengaruhi masyarakat sekelilingnya. Malah, mereka sedar akan tanggungjawab yang dipikul di atas pundaknya dengan merealisasikan erti sebuah mengorbanan dan pengabdian dalam titip kehidupannya.

Justeru itu, wanita yang pandai memainkan peranan sebagai muslimah sejati akan terhalang daripada sebaran fitnah dajal yang tidak kesudahan. Bahkan, konsep kedudukan wanita ditafsir dengan hakikat sebenar yang sentiasa menjaga kehormatan diri dan agama. Lantas, sebagai wanita yang dapat menghiasi dunia terindah dalam kehidupannya, menjadi seorang yang berjaya dan terselit dalam dirinya dengan ‘akhlakul karimah’. Kelembutan dalam nur Islam yang sesuai dengan jiwa seorang wanita membuka ruang kepada mereka untuk mengharungi cabaran dalam kehidupan, namun mereka tegar dengan ketegasan dalam menegakkan Islam yang hakiki.

Diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah s.a.w, beliau berkata; “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang diharamkan baginya kelembutan, maka bererti dia telah diharamkan dari kebaikan”. Begitu juga dari Jabir bin Abdullah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika Allah menghendaki kebaikan kepada sesuatu kaum, maka Allah akan memasukkan kelembutan ke dalam hati mereka”. - Hadith riwayat Bazzar.

Oleh itu, wanita yang mengetahui ajaran agamanya akan sentisa terjaga dari kezaliman sama ada terhadap dirinya atau sekelilingnya. Tiada lagi mata dari komuniti manusia yang menjeling wanita dengan gambaran fitnah kerana wanita yang jujur dengan ke-Islamannya, yang teguh dengan imannya, yang terbuka akalnya dengan cahaya Rabbani akan terus bergerak dan beraktiviti di jalan kebenaran, juga mengajak yang makruf dan mencegah yang mungkar, menyampai nasihatnya, memperbaiki peribadi buruk, malah tidak suka dirinya berperanan negatif, beku, alpa dan larut dengan hawa nafsu, apatah lagi mendedahkan aurat tanpa segan silu.

“Dan syaitan telah berkata ketika perkara (hisab) telah disesaikan (di padang Mahsyar), “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku telahpun menjanjikan kepadamu, tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan aku sekadar menyeru kepadamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu, janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamupun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu.” Sungguh, orang yang zalim akan mendapat seksaan yang pedih”. Ibrahim: 22

Maka, bandingkanlah antara fenomena dan senario yang berlaku di hadapan kita, hatta di sekeliling kita dengan posisi yang berbeza. Adakah kita benar-benar terjaga dari fitnah dajal atau menjadi sebahagian daripada ikon buatannya? Bahkan, adakah kehidupan kita dapat merealisasikan matlamat Islam, sekaligus mengangkat pemikiran umat Islam untuk membezakan perkara yang dilarang dan tidak dilarang serta memahami nilai-nilai Islam yang sebenar tanpa bercampur dengan acuan barat? Atau adakah kita menjadi dalang terhadap keruntuhan akidah umat Islam dengan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal? Ironinya, wanita Islam terasing dalam dunia yang diciptanya sendiri kerana kotak pemikiran mereka diikat dengan psikologi dan mental yang jumud. Namun, para wanita Islam yang mempunyai pegangan Islam yang kukuh, pengetahuan agama yang teguh serta pemahaman Islam yang utuh berpotensi untuk menjelaskan hakikat Islam yang sebenar berdasarkan ideologi dan psikologi dari acuan Islam.

“Ya Tuhan kami, janganlah engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami, ya Tuhan kami. Sesungguhnya, Engkau Maha Perkasa dan Maha Bijaksana”. – al-Mumtahanah: 5

No comments:

Post a Comment

eyes of views

Followers

SYED QUTB:

"Kita akan merasa sempit apabila kita memikirkan kitalah yang akan memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini adalah satu mata dari mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang menyambung perjuangan kita dan orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah GENERASI MUDA".

true friend..

Daisypath Friendship tickers

10 sebab hati buta:

"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang yang buta ialah hati yang di dalam dada". -al-Hajj: 46

1) Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah s.a.w, tetapi kamu tinggalkan Sunnahnya.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
5) Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
10) Kamu kebumikan mayat-mayat manusia, tetapi kamu tidak mengambil pelajaran daripadanya.

*Maka, inilah sebabnya kenapa doa kita tidak dimakbulkan...


ViEw oF My LiFe :)

ViEw oF My LiFe :)
Lihatlah dunia seperti ia sebenarnya...bukan seperti yang kau harapkan>>