Notis Hak Cipta

PERHATIAN:
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada JUITA MUSA. Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog JUITA MUSA ini. Harap maklum. Terima kasih. © JUITA MUSA


Monday, October 18, 2010

Hidup bersemi ukhuwwah


“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaan-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan ketika itu kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk”. – Ali-Imran: 103

Satu ukhuwwah yang terjalin rapi memerlukan kenyataan dalam perjalanan hidup. Hidup ini hanya kepingan sementara dan betapa pentingnya ukhuwwah atas nama Pencipta Esa diputik antara satu nafas dengan nafas yang lain. ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’. Pepatah Melayu ini kerapkali didengari dalam masyarakat tanda  kita masih memerlukan tautan dari tangan lain untuk menjalani kehidupan harian. Namun, ukhuwwah itu bukan hanya terukir di bibir sahaja, bahkan ia perlu disertai dengan hati yang ikhlas demi Allah Taala kerana ‘ukhuwwah fillah’ itulah yang lebih bermakna dan diredhai-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Ada tiga jenis manusia yang merasai kemanisan iman: Allah dan Rasul lebih dikasihinya berbanding selainnya, mengasihi seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kufur sepertimana dia benci dihumbankan ke dalam api neraka". - Riwayat Bukhari dan Muslim

Bila hidup mendakap diri

"Teman-teman karib pada hari itu (kiamat) saling bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertakwa (iman dan amal soleh)". - al-Zukhruf: 67

Islam tidak mengajar manusia untuk hidup seorang diri. Bila jiwa dicemari prasangka buruk, ukhuwwah tidak dikenali, apatah lagi dihayati. Rasulullah s.a.w mendidik dirinya dan juga para sahabat serta umatnya mendalami perasaan kasih sayang. Ar-Rahman dan Ar-Rahim cukup mendalam. Menangkap jiwa yang penuh keikhlasan dalam diri berukhuwwah. Perhambaan terhadap Allah juga jadi mantap, kasih Rasul juga berseri di jiwa sebaris keimanan yang disinari cahaya ukhuwwah.

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang ingin rezekinya diperbanyakkan (lapangkan) dan umurnya dipanjangkan, hendaklah ia menghubungkan silaturrahim”.

Secawan Teh ‘Arusah

Bagaikan secawan teh ‘Arusah yang tidak dicampur dengan gula. Tawar dan kelat rasanya. Begitu jugalah halnya dengan ukhuwwah yang tidak terbina. Maka, tawar dalam kehidupan manusia akan terasa dek kekurangan halawa dalam jalinan ukhuwwah antara manusia. Adakah seseorang itu akan bertambah ceria sekiranya kehidupan mereka tidak diserikan dengan ukhuwwah fillah? Hubungan yang tidak dipatri dengan tali Allah hanya menyerikan dunia semata. Mana mungkin ukhuwwah itu akan kukuh jika ukhuwwah terbina atas dasar kepentingan diri, bahkan tidak pula akan berpanjangan jika hubungan itu dijalin dengan motif yang tidak diredhai Allah. Sesiapapun tidak memilih untuk hidup berseorangan jika diberi pilihan. Malah, adakah kekuatan pemimpin akan bertambah kuat dan teguh jika interaksi antara rakyatnya tidak terjalin? Nah, begitu pentingnya ikatan silaturrahim ini sehinggakan Allah mengingatkan kepada kita melalui keratan ayat di dalam surah Ali Imran yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang  mendapat azab yang berat”. – Ali Imran: 105

Tangan yang dihulur tanda tautan,
senyum dilirih bersama renungan,
ukhuwwah dibina tidak kelihatan,
namun hati sentiasa mengenang.

Sepi

“Tanpa kawan-kawan, tiada siapa akan memilih untuk hidup walaupun memiliki barang yang berharga”. – Aristotle

Kesepian dalam diri mendustakan hati untuk menerima tangan yang dihulur, bahkan tatkala air mata kerinduan mengalir kerana keseorangan, masih ramai lagi yang tidak menyayangi saudaranya, sedangkan ukhuwwah yang erat sebenarnya merupakan benteng kepada kejatuhan Islam. Sejarah Islam telah tercalit dengan keruntuhan empayar Islam yang runtuh dek ketidaksatuan umat Islam. Ironinya, ukhuwwah yang ditonjolkan hari ini semakin menjurus ke arah keruntuhan daulah Islamiah. Kerenggangan silaturrahim jelas tergambar apabila saudara sedarah daging tidak dikenali. Bila bahu selisih, tambah pula wajah yang tidak dikenali, perkataan maaf tidak pula terucap, akhirnya bermasam muka bak terlebih cuka pula diberi.

Bila kalimah maaf’ kurang dipraktikkan, terima kasih’ pula tercari-cari lorong ungkapannya. Kadangkala, ego yang menguasai diri terbina dari ketidakikhlasan bersahabat. Akhirnya keegoan itu dicerna dengan dimensi perasaan. Mulalah menuding jari ke arah sahabat, lantas prejudis terhadap orang yang tidak bersalah, sedangkan kita sendiri tertuding dengan keda’ifan mentafsir makna ukhuwwah fillah. Terlalu cepat melatah sehingga kita lupa manisnya ketika berkawan. Disebabkan merajuk yang ditambah pula dengan ego, ikatan persahabatan yang telah dipatri akhirnya terputus dengan geraham kebencian. Sukar disambung semula seperti detik-detik manis yang telah dilalui kerana perasaan telah berbaur dengan kebencian walaupun sezarah cuma. Mata pula dipanah rasa curiga. Lebih sayu lagi apabila kita sanggup kehilangan sahabat dek terikut-ikut dengan kecurangan sahabat yang lebih rapat.

Dalam fitrah seorang yang bergelar pendakwah yang mula melangkah ke arah mencari redha Allah biarpun penuh dengan tribulasi, kita seharusnya cakna dengan soal ukhuwwah tanpa memilih bulu atau darjat semata jika seorang pendakwah benar-benar menghayati taklifannya. Adapun perjalanan solo seorang pendakwah penuh dengan kehidupan yang survival, maka ia memerlukan ukhuwwah Islamiah yang kukuh supaya semangat juang itu tidak ampuh. Malah, dengan jalinan ini juga akan mendorong seseorang da’ie untuk melakukan kebaikan demi kepentingan Islam tanpa adanya kemegahan yang diidam-idamkan. Persoalannya, sudahkan kita berukhuwwah?

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu sangat berat siksa-Nya”. – al-Maidah: 2

Lambaian Ukhuwwah Fillah

"Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang-orang kafir (musuh Islam), tetapi berkasih sayang sesama mereka (umat Islam). Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya. Pada wajah mereka nampak tanda-tanda bekas sujud (dari ibadah mereka yang ikhlas)". - al-Fath: 29

Ukhuwwah fillah itu tidak boleh dipandang enteng. Pandangan menggunakan sebelah mata hanya akan menyakitkan sebelah mata lagi. Bahkan, visual akan terhad dan kenikmatan ukhuwwah itu tidak akan terkesan dalam jiwa umat Islam. Mempengaruhi mad’u (orang yang didakwah) untuk mendekati kita (seorang pendakwah) bukan satu masalah besar. Kedamaian dan keharmonian yang dicorak memainkan peranan yang penting dalam strategi dakwah. Justeru itu, janganlah kita menjadi seorang pemutus hubungan dan memandang ukhuwwah itu bak ‘melepaskan batuk di tangga’. Sebaliknya, jadikan ukhuwwah fillah yang terjalin kukuh antara kita sebagai satu mawaddah dan sa’adah dalam menjalani kehidupan seorang khalifah di muka bumi ini.

Ukhuwwah fillah memaksa kita mengenali antara satu sama lain, tetapi dalam masa yang sama ada yang cenderung memutuskannya. Ukhuwwah fillah membawa kita kepada kesedaran penuh bahawa kemanisan hidup akan tercapai melaluinya. Tiada apapun yang bernilai dalam hidup ini yang mungkin diperolehi tanpa ukhuwwah. Jikalau ia mudah diperolehi, sudah tentu semua orang akan merasainya.

No comments:

Post a Comment

eyes of views


Followers

SYED QUTB:

"Kita akan merasa sempit apabila kita memikirkan kitalah yang akan memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini adalah satu mata dari mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang menyambung perjuangan kita dan orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah GENERASI MUDA".

true friend..

Daisypath Friendship tickers

10 sebab hati buta:

"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang yang buta ialah hati yang di dalam dada". -al-Hajj: 46

1) Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah s.a.w, tetapi kamu tinggalkan Sunnahnya.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
5) Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
10) Kamu kebumikan mayat-mayat manusia, tetapi kamu tidak mengambil pelajaran daripadanya.

*Maka, inilah sebabnya kenapa doa kita tidak dimakbulkan...


ViEw oF My LiFe :)

ViEw oF My LiFe :)
Lihatlah dunia seperti ia sebenarnya...bukan seperti yang kau harapkan>>