Notis Hak Cipta

PERHATIAN:
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada JUITA MUSA. Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog JUITA MUSA ini. Harap maklum. Terima kasih. © JUITA MUSA


Tuesday, November 16, 2010

KORBANKAN USIA MUDAMU DEMI ISLAM


“Andai Islam diumpamakan seperti bangunan usang yang hampir roboh, maka akan aku berjalan ke seluruh pelusuk dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan banyaknya bilangan mereka, tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku membina kembali bangunan yang usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah…”- Imam Hasan Al-Banna

Generasi muda adalah penguat kekuatan Islam. Tidak sama kekuatan tenaga mereka berbanding tahap umur kanak-kanak dan golongan tua. Setiap pertengahan umur adalah marhalah kekuatan yang ada pada jiwa muda untuk bangkit menyeru kebenaran dari sebarang perkara yang menjurus kepada kemaksiatan dan dosa.

Hakikatnya, fitrah kelahiran manusia berbeza dari segi pemikiran, tabiat dan kecenderungan serta matlamat mereka. Maka, sepatutnya ‘golongan muda’ yang masih menjalar darah panasnya menjadi penyambung kepada perjuangan ini tanpa mengharapkan balasan dunia, sebaliknya mereka yang ikhlas dalam perjuangan tidak akan membebankan dirinya dengan memikirkan tentang tersebut.

Bila kita bergelar da’ie, kita wajib sedar bahawa jiwa kita tidak boleh lama menjadi remaja dan hidup dengan keseronokan. Seperti hikmah dari kata Imam Hasan Al-Banna, “Tanggungjawab melebihi masa yang ada dan tarbiah yang bersalutkan ilmu dan cabaran dapat mendewasakan engkau. Tetapi cukupkah sekadar menerima tarbiah? Sampaikanlah kepada yang lain. Bangunlah wahai syabab. Sedarlah wahai fata. Kalian bukan memulakan perjuangan, tetapi kalian adalah mata-mata yang menyambung rantai perjuangan…”

 Misi dakwah Islamiah bukanlah satu perbicaraan yang kosong atau sebuah utopia, tetapi ia suatu taklifan yang perlu ditanggung di atas pundak setiap yang bergelar manusia sehingga semboyan dakwah menjalar di seantero dunia. Sesungguhnya tugas dakwah bukan hanya dimonopoli oleh individu tertentu atau hak perseorangan, tetapi ia adalah tanggungjawab dan seruan kepada semua.

Contoh tauladan yang dikaitkan dengan pengorbanan ‘pemuda’ menegakkan kebenaran dan yang membawa risalah ialah;

1.    Nabi Ibrahim a.s

Kekuatan semangat dari kisah Nabi Ibrahim yang berani menghancurkan berhala-berhala dan pandai bermain dengan ‘politik pemikiran’, di mana baginda meletakkan kapak di sisi berhala yang paling besar untuk memperdayakan kaumnya, sedangkan umur baginda ketika itu muda dan remaja

“Mereka yang lain berkata, “Kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-berhala ini) namanya Ibrahim”. – al-Anbia’: 60

2.    Nabi Ismail a.s

Pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup disembelih oleh ayahandanya Nabi Ibrahim dengan arahan Allah Taala, malah baginda Ismail tidak memikirkan arahan tersebut kerana itu datang dari Allah Taala. Namun, setelah nyata kesabaran dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s, maka Allah melarang menyembelih Nabi Ismail. Bahkan, Allah menggantikannya dengan seekor sembelihan (kambing) untuk meneruskan korban. Hikmah peristiwa tersebut, ia menjadi dasar disyariatkan mengorbankan sembelihan pada Hari Raya Haji bagi umat Islam.

“Maka, ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar”. – As-Saffat: 102

3.    Nabi Yusuf a.s

Kisah Nabi Yusof a.s yang bersedia menjalankan tanggungjawab dakwah Islam walaupun terpaksa berperang dengan dua mehnah iaitu; cabaran keduniaan, yang mana jika baginda menolak ajakan nafsu Zulaikha, maka Nabi Yusof akan dipenjarakan dan dipandang hina oleh masyarakat.

“Dia (Zulaikha, isteri Al-Aziz) berkata: “Itulah orangnya (Yusuf) yang menyebabkan kamu mencela aku kerana (aku tertarik) kepadanya, dan sungguh, aku telah menggoda untuk menundukkan dirinya tetapi dia menolak. Jika dia tidak melakukan apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan, dan dia akan menjadi orang yang hina”. – Yusuf:32

Juga, cabaran agama, di mana tidak layak bagi pesuruh Allah melakukan kemaksiatan.

“….Demikianlah, Kami palingkan darinya (Yusuf) keburukan dan kekejian. Sungguh, Dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih”. – Yusuf: 24

Sedangkan, Nabi Yusuf a.s masih berdarah muda dan menghadapi godaan yang besar sehingga jika dia tidak dikuatkan dengan keimanan kepada Allah Taala, tentu dia akan terjebak ke dalam kemaksiatan. Sebaliknya, baginda tidak lemah dan tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan dan akhirnya baginda memilih penjara sebagai ‘pengorbanan’ diri dari terjerumus dalam fitnah dengan menggadaikan kehidupan dunianya untuk memilih keredhaan Allah.

4.    Ashabul Kahfi

Pengajaran daripada kisah Ashabul Kahfi iaitu sekumpulan pemuda yang lari daripada kejahilan dan penyelewengan agama.

“Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri (bangun dan menghadap Raja Dikyanus yang zalim dan sombong) lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran”
. – al-Kahfi: 13-14

IKHLAS KORBANKAN JIWA RAGA

Zuhair bin Abu Salma dalam bait syairnya: “Sesiapa yang tidak menghunuskan pedangnya, nescaya ia akan dihancurkan. Dan sesiapa yang tidak mampu menguasai manusia, maka dia akan dikuasai’. Dengan maksud, bertindak dengan menggunakan akal tanpa permusuhan dan kezaliman. Bahkan, menguasai manusia dengan ideologi dan tarbiah Islam tanpa ada deskriminasi pelbagai pihak.

“Maka, mengapa tidak ada di antara umat-umat sebelum kamu (Muhammad) orang yang mempunyai keutamaan yang (melarang) berbuat kerosakan di bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang yang telah kami selamatkan. Dan orang-orang yang zalim akan mementingkan kenikmatan dan kemewahan. Dan mereka adalah orang-orang yang berdosa”. – Hud: 116

Suratannya, kehidupan dunia ini tidak akan dipimpin oleh kebenaran, bahkan segala kebaikan tidak akan berkembang, kalimah keadilan hanya pada slogan dan tidak pula akan dipertahan oleh pemikir keduniaan kerana mereka menggadai prinsip perjuangan dan yang bekerja semata-mata inginkan habuan keduniaan. Natijahnya, panji-panji kemuliaan Islam tidak akan berkibar kerana lahirnya manusia yang melihat kemegahan di mata, orang-orang yang riak bekerja mengharapkan orang melihat kepadanya, dan mendengarnya serta membicarakan tentang dirinya tanpa memikirkan masa depan Islam yang universal dengan ikhlas. Janganlah kita menghiraukan redha manusia sedangkan Allah Taala memurkainya. Sebaliknya, orang yang benar akan memperoleh kebaikan serta kemenangan di tangan orang yang benar-benar ikhlas, bahkan akur dengan prinsip dan berupaya mempengaruhi orang lain iaitu dengan memerangi semua keburukan dan kemungkaran, menggalakkan kebaikan dengan fikrah Islamiah tanpa terpengaruh dengan fenomena umum.

“Dan (juga) orang-orang yang menginfakkan hartanya kerana riak kepada orang lain (ingin dilihat dan dipuji), dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai temannya, maka (ketahuilah) dia (syaitan itu) adalah teman yang sangat jahat”
. – an-Nisa’: 38

Empat kewajipan ke atas pemuda Muslim:

1.    Memahami Islam secara sahih dan betul
2.    Beramal dengan ilmu
3.    Wajib berdakwah menuju kepada Islam (Allah)
4.    Wajib bersangkutan/ berhubung terhadap Islam. Bukan semata-mata amal fardhiah, tetapi juga amal ijma’i dengan maksud membantu dan berhubung antara satu sama lain.\

Sesungguhnya, wajib kepada pemuda Muslim memahami kewajipan mereka hari ini kerana kekuatan dan kebangkitan Islam akan terserlah jika generasi muda menyahut cabaran dan sanggup mengorbankan jiwa raga mereka menjelajah dunia dakwah Islamiah, hatta gerakan Islam sekalipun.

“….Pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu….” – al-Ma’idah: 3

10 Zulhijjah 1431 H/16 November 2010 SALAM EIDILADHA 'Kullu 'am wa antum bikhair'

No comments:

Post a Comment

eyes of views


Followers

SYED QUTB:

"Kita akan merasa sempit apabila kita memikirkan kitalah yang akan memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini adalah satu mata dari mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang menyambung perjuangan kita dan orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah GENERASI MUDA".

true friend..

Daisypath Friendship tickers

10 sebab hati buta:

"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang yang buta ialah hati yang di dalam dada". -al-Hajj: 46

1) Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah s.a.w, tetapi kamu tinggalkan Sunnahnya.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
5) Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
10) Kamu kebumikan mayat-mayat manusia, tetapi kamu tidak mengambil pelajaran daripadanya.

*Maka, inilah sebabnya kenapa doa kita tidak dimakbulkan...


ViEw oF My LiFe :)

ViEw oF My LiFe :)
Lihatlah dunia seperti ia sebenarnya...bukan seperti yang kau harapkan>>