Notis Hak Cipta

PERHATIAN:
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada JUITA MUSA. Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog JUITA MUSA ini. Harap maklum. Terima kasih. © JUITA MUSA


Sunday, August 8, 2010

Tradisi Ratu Antara Dunia


Apa itu cantik?
Cantik itu sihat. Cantik itu kehidupan. Cantik itu membangkit naluri cinta. Cantik itu gaya. Cantik itu membanggakan. Cantik itu memberi keyakinan diri. Cantik itu membuka minda. Cantik itu ketenangan. Cantik itu rangsangan. Cantik itu mengenali hakikat diri. Ironinya, kecantikan hakiki bukan terletak pada zahiriah semata, tetapi terserlah keindahan pada seseorang itu adalah dari hati nuraninya.

Ramai yang menganggap bahawa kecantikan adalah segala-galanya, namun itu bukan perkara yang obses, tetapi menyukai kecantikan adalah lumrah setiap manusia. Bahkan, tidak kisahlah di ceruk manapun, pelbagai produk kecantikan dicipta seakan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Memiliki kecantikan pada diri adalah anugerah istimewa yang diberikan Allah Taala, namun obsesi wanita yang inginkan kecantikan kadangkala menimbulkan masalah psikologi. Malah, persepsi kecantikan juga menjadi punca tersebarnya pelbagai variasi fitnah. Maka, mengenali kecantikan diri bukan semudah yang disangka. Salah menilai kecantikan pada diri, ‘perasan’ pula dicopnya.

Tidak hairan jika semua inginkan kecantikan, biarpun tidak tersenarai dalam list ‘Ratu Cantik Dunia’. Indah dan cantik itu satu subjektif untuk diungkap. Pelbagai dimensi andaian dicipta,, kononnya kecantikan itu hanya pada zahir sahaja. Sebaliknya, batiniah itulah menyerlahkan kecantikan sebenar.

‘Indah pada bulan dilihat pada cahayanya, indah pada bintang dilihat pada gemerlapannya dan indah pada matahari dilihat pada sinarnya.’

Tradisi ratu antara dunia bukan lagi sekadar biasa-biasa. Dominasi dunia kecantikan abad ini seakan mengalahkan orang yang berpengaruh dalam dunia bisnes. Retro kehidupan manusia kini mendambakan kecantikan lebih dari pendidikan, namun itu hanya manoriti sahaja. Golongan yang gilakan kecantikan hidup dalam urban yang semakin mendesak manusia mencari identiti kukuh untuk terus bergaya. Mereka semakin tegas untuk mengekspresikan diri melalui penampilan. Mereka taksub dengan dunia kecantikan semata-mata hatta melupai perkara penting dalam kehidupan.

Hakikatnya, kecantikan bukanlah suatu yang bersifat kekal, apabila tiba waktunya, segalanya akan berubah. Cantiknya taman dengan adanya pepohon nan menghijau. Wanginya alam dengan wujudnya bebunga semerbak kasturi. Begitu juga kecantikan, cantik rupawan seseorang bukan terletak pada cantiknya raup wajahnya, tetapi ketulusan dan kebenaran dalam hati nuraninya.

RETRO KECANTIKAN

Setiap insan mempunyai naluri yang tabi’e mengharapkan kehidupan dengan menampilkan kecantikan dan personaliti yang menawan agar kelihatan sentiasa muda dan berseri. Tradisi ini bukan lagi perkara yang pelik kerana fenomena dunia dewasa ini sudah banyak berubah dan pemikiran manusia juga berubah mengikut peredaran zaman. Bayangan pada kecantikan amat ketara apabila pelbagai ragam dan gaya hidup dipersembahkan. Bahkan, masyarakat seantero dunia melatah hatta menimbulkan kekeliruan dalam amalan rutin yang berbaur dengan perkara yang diharamkan oleh Islam.

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan…” – Ali-‘Imran: 14

Manusia hanya makhluk Allah yang da’if, ironinya dicipta sebaik-baik kejadian. Tiada beza antara manusia, cuma keistimewaan visual masing-masing yang menentukan cantik, hitam-putih dan tutur bicara.

Sindrom terhadap kecantikan di kalangan manusia ini merupakan penyakit psikologi yang perlu dirawat agar kecantikan itu tidak menjadi satu fitnah yang mencemarkan hakikat kehidupan manusia sebenar, lantas menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Fenomena kecantikan dengan gaya hidup yang sihat bukan suatu yang mudah untuk dijaga. Keadaan sekeliling yang dicemari dengan bahan kotoran, gaya hidup yang tidak sihat secara fizikal dan mental, masalah pemakanan dan penggunaan produk kosmetik yang tidak sesuai antara faktor kekenduran lapisan kulit. Secara psikologinya, kecantikan banyak dikaitkan dengan keadaan seorang yang sentiasa berfikiran positif terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Rebutan dan kegilaan manusia terhadap kecantikan seakan menjadi tradisi turun-temurun untuk memenuhi hasrat dan matlamat mereka, sedangkan kecantikan sebenar ada dalam diri, malah ia wujud tatkala empunya diri menghargai apa yang dimiliki.

KETAKSUBAN DIRI

Memandangkan ketaksuban manusia terhadap kecantikan, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kelihatan cantik, biarpun sanggup habis berjuta, sedangkan kecantikan itu tidak ke mana. Terkadangnya, kecantikan yang didamba mencetuskan provokasi antara manusia. Mereka seakan tidak mensyukuri nikmat yang diberikan Allah. Manusia yang taksub dengan kecantikan diri semata-mata menganggap bahawa kecantikan adalah segala-galanya.  Mereka lupa menyelusuri asal ciptaan manusia, sedang ia dicipta untuk menyembah dan akur kepada Allah Maha Pencipta.

Maksud firman Allah Taala:

“Sesungguhnya Kami menjadikan kamu daripada tanah, kemudian daripada  setitik mani, kemudian daripada segumpal darah, kemudian daripada segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam rahim, perkara yang Kami kehendaki sehingga waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian dengan (beransur-ansur) kamu sampai kepada kedewasaan dan di antara kamu ada yang dimatikan dan ada (pula) yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyuk supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu dahulunya yang telah diketahui…” - al-Hajj: 5

Istilah ‘kecantikan’ yang menyelubungi jiwa mereka melanda diri, hatta bayangan keindahan ciptaan Tuhan tidak terlihat. Indah itu untuk disyukuri, bukan dibangga-banggakan. Justeru itu, timbul perasaan ta’ajub dalam jiwa yang dapat menghitamkan hati. Sebaliknya, mengharungi kehidupan tanpa kecantikan juga suatu ‘attitude’ yang tidak normal kerana sifat semulajadi manusia yang inginkan segalanya indah itu dicipta untuk membezakan mereka dari suatu yang di luar tabi’e manusia.

RATU ITU BUKAN PADA NAMA

Segalanya indah jika difikirkan indah dan segalanya hodoh jika difikirkan hodoh, maka yang mana satukah pilihan kita? Sketsa kehidupan manusia bermula dengan apa yang difikirkannya. Ratu itu bukan lagi pada nama, tetapi pada keindahan dan kecantikan dalam hati serta amalannya. Kecantikan mempunyai tarikan tersendiri untuk ditafsir, biarpun kita merasakan semua yang indah itu adalah cantik kerana realitinya visual kecantikan itu berseni.

Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan manusia dengan seelok-elok rupa paras dan bentuk yang sempurna serta mempunyai anggota yang cantik susunannya. Manusia juga dimuliakan dengan ilmu pengetahuan, akal serta boleh berbicara yang membolehkan manusia mentadbir dengan hikmah dan bijaksana. Kesemua sifat-sifat ini layak untuk menjadikan manusia makhluk pilihan dan khalifah di muka bumi-Nya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

“Dan sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan Kami bawa mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna” – al-Isra’: 70

Revolusi kecantikan yang melingkari neuron manusia kini tidak wajar dipamerkan dengan ketaksuban dan keegoan diri kerana ia lebih memburukkan keindahan dan menjejaskan kecantikannya, sedangkan seseorang manusia apabila berada dalam keadaannya yang cantik akan membawa keseronokan kepada dirinya. Oleh demikian, dengan kurniaan Allah Taala ini, wajarlah bagi manusia memberikan pembalasan dengan sentiasa bersyukur kepada Allah Taala dan memuji-Nya  di atas nikmat tersebut serta tidak mencacatkannya dengan menyalahgunakan kecantikan seperti melakukan maksiat kepada Allah Taala, di samping wajib ke atas seseorang menjaga bentuk rupa parasnya dan kecantikan hati serta bi’ah solehnya, seperti yang telah dijadikan oleh Allah dengan menjauhkan diri dari segala perkara yang boleh mengubah, memburukkan dan memudaratkan kejadian asal ciptaan-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t tidak melihat kepada rupa bentuk kamu dan harta kamu, tetapi melihat pada hati-hati kamu dan amalan kamu.” - al-Nawawi dan Ahmad

*artikel ini juga terdapat di dalam Wardah nurani edisi 4

No comments:

Post a Comment

eyes of views


Followers

SYED QUTB:

"Kita akan merasa sempit apabila kita memikirkan kitalah yang akan memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini adalah satu mata dari mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang menyambung perjuangan kita dan orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah GENERASI MUDA".

true friend..

Daisypath Friendship tickers

10 sebab hati buta:

"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang yang buta ialah hati yang di dalam dada". -al-Hajj: 46

1) Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah s.a.w, tetapi kamu tinggalkan Sunnahnya.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
5) Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
10) Kamu kebumikan mayat-mayat manusia, tetapi kamu tidak mengambil pelajaran daripadanya.

*Maka, inilah sebabnya kenapa doa kita tidak dimakbulkan...


ViEw oF My LiFe :)

ViEw oF My LiFe :)
Lihatlah dunia seperti ia sebenarnya...bukan seperti yang kau harapkan>>