Notis Hak Cipta

PERHATIAN:
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada JUITA MUSA. Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog JUITA MUSA ini. Harap maklum. Terima kasih. © JUITA MUSA


Monday, August 31, 2009

MERDEKA BERPAKSIKAN MAKSIAT


Tanggal 31 Ogos, Malaysia sekali lagi menyambut hari kebangsaan ke-52. Sambutan merdeka dengan kibaran jalur gemilang dan laungan merdeka dipersembahkan bukan sahaja oleh warga Malaysia, tetapi pelancong Asing juga tidak melepaskan peluang untuk merasainya. Kemeriahan malam merdeka yang disusuli dengan adiwarna Malaysia melambangkan kevariasian etnik di Malaysia. Dentuman ‘sub woofer’ menggimikkan ruangan angkasa. Dataran merdeka pula dipenuhi oleh pelbagai jenis manusia seakan seperti semut hitam yang mengerumuni gula. Sebaliknya, di celahan itu terdapat aksi lucah yang berlaku tatkala suara riuh dengan teriakan mereka. Hakikat udang di sebalik mee tidak pernah terlindung, aksi lucah sedemikian bukan lagi suatu perkara pelik yang berlaku, biarpun ramai yang memerhatikannya.

Malangnya, muda-mudi galak menyambut kemeriahan malam merdeka tanpa menghayati erti ‘kemerdekaan’ sebenar. Barangkali malam merdeka ini adalah malam gemilang bagi golongan remaja yang berstatus bohsia dan bohjan. Mana tidaknya, pil-pil khayal dan kondom bertebaran di merata tempat seperti sampah sarap yang menghiasi jalanan. Mulalah malam yang dilaungkan kalimah ‘merdeka’ telah membuka lembaran bagi mereka untuk melakukan aksi songsang. Mata masyarakat mula disajikan dengan tarian lucah lesbian dan gay, ke mana hilangnya budaya ketimuran yang kuat dipegang oleh masyarakat Malaysia dahulu?

Pasangan yang hangat bercinta kononnya hadir untuk menghayati pengorbanan pejuang negara, malah datang dengan harapan untuk mencipta sejarah. Malam merdeka pula dianggap ‘malam mengawan’ bagi mereka seolah-olah sejarah yang dicipta mereka berakhir dengan ‘kenikmatan’. Mat-mat rempit pula mula menunjukkan belang, siapa berhak ditakhtakan ‘HERO REMPIT’. Semangat Patriotik seolah-olah dipamerkan melalui kibaran jalur gemilang bersama bohsianya.

Daripada ‘Abdullah Ibn ‘Amr Ibn Al-‘As r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya tidak mengikut apa yang aku bawa.”- Hadith Hasan Sahih

Persoalan yang perlu diambil serius oleh masyarakat hari ini adalah kesan budaya ‘ketidakpedulian’. Masyarakat hari ini seakan lali dengan fenomena yang berlaku, namun sama sekali tidak terkesan dengan senario yang ditonjolkan, meskipun maksiat berlaku di depan mata. Kesan-kesan kerosakan pemikiran yang dibawa oleh pemikir liberalisi Islam nampaknya telah menular dan menghasilkan generasi berfikrah seperti mereka. Kepincangan akidah jelas sama sekali berpunca daripada virus-virus liberal sehingga simptom-simptom tersebut menyelewengi fitrah manusia.

Rasulullah s.a.w mengingatkan: “Tidaklah satu kaum yang di kalangan mereka terdapat orang-orang yang melakukan maksiat sementara kaum itu pula lebih kuat dan lebih ramai daripada orang-orang yang melakukan maksiat, tetapi mereka pula tidak menghalangnya, melainkan Allah meliputi mereka semua dengan seksaan”- Musnad Ahmad

Maka, merdekakah kita dengan fenomena yang berlaku? Penghayatan malam merdeka pula tidak lagi semantap dulu kerana jiwa remaja haru-biru dengan kejahilan kota metropolitan. Apa yang tergambar di fikiran kita, hiburan seakan memecahkan gegendang telinga, namun itulah yang disukai oleh remaja. Tengok saja dataran merdeka yang dipenuhi oleh golongan muda-mudi, tiada lagi kesayuan dan semangat patriotik terpahat di jiwa mereka, sebaliknya mereka lebih mendambakan hiburan semata-mata. Jiwa remaja pula seakan memberontak untuk melakukan perkara terkutuk walaupun ia jelas haram dan memalukan.

Lantaran itu, masyarakat Malaysia tidak mampu bernostalgia dengan pengorbanan pejuang lampau, tetapi titipan patriotik perlu ada supaya malam merdeka tidak dikotori dengan perkara terkutuk. Merdeka bukan bererti bebas daripada melakukan perkara yang diharamkan, sebaliknya ‘merdeka’ daripada cengkaman fikrah songsang dan maksiat kerana perbuatan maksiat itu mencemarkan Islam seakan tiada lagi masyarakat yang bertamadun. Sejarah Islam tidak pernah menipu kita, tetapi kita sendiri perlu menghayati di sebalik sirah tersebut. Hakikatnya, masyarakat Islam merupakan pejuang pertama yang memperjuangkan kemerdekaan dan kita merupakan mata rantai kepada perjuangan Islam. Kebebasan itu perlu untuk membebaskan manusia daripada bertuhankan manusia tidak kira berbentuk ideologi atau sebagainya.

No comments:

Post a Comment

eyes of views

Followers

SYED QUTB:

"Kita akan merasa sempit apabila kita memikirkan kitalah yang akan memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini adalah satu mata dari mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang menyambung perjuangan kita dan orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah GENERASI MUDA".

true friend..

Daisypath Friendship tickers

10 sebab hati buta:

"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang yang buta ialah hati yang di dalam dada". -al-Hajj: 46

1) Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah s.a.w, tetapi kamu tinggalkan Sunnahnya.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
5) Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
10) Kamu kebumikan mayat-mayat manusia, tetapi kamu tidak mengambil pelajaran daripadanya.

*Maka, inilah sebabnya kenapa doa kita tidak dimakbulkan...


ViEw oF My LiFe :)

ViEw oF My LiFe :)
Lihatlah dunia seperti ia sebenarnya...bukan seperti yang kau harapkan>>