Segar sejenak dari kesibukan kota Kaherah. Perjalanan setengah jam dari Hayyu sabi’ ke Abbasiah meletihkan, hatta menyerabutkan fikiran. Cuma fokuskan positif menerjang negatif dari minda. Gelagat warga Arab yang majoritinya bukan seorang penyabar dianggap titip pengalaman seorang perantau. Bahkan, diri tidak pernah membantah untuk ke kuliah. Esakan penduduk yang ramai dan taraf hidup rendah yang dilalui mereka terkadang menyentuh perasaan. Alhamdulillah, bersyukur atas kurnia nikmat hidup dan Islam dalam jiwa, biarpun kadangkala terasa cabaran menggunung hiba.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian dan cubaan) seperti (yang telah dialami) oleh orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka telah ditimpa kemelaratan (kepapaan), dan penderitaan (serangan penyakit) serta digoncangkan (dengan serangan musuh dan cubaan), sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu sabar dan berpegang teguh kepada Agama Allah)”. –al-Baqarah: 214
Menuntut ilmu di negara orang bukan suatu jalan untuk suka-suka, bahkan bukan juga suatu lorong yang dianggap mencengkam jiwa, tetapi pengalaman sebagai seorang musafir ilmuan mematangkan fikiran, juga meluaskan pengetahuan.
“Usah terlalu ghairah dengan dunia hari ini kerana apa yang buruk itu ada di depan mata, tanpa pegangan hidup yang kuat, tidak mustahil kita akan hanyut dengan arus keseronokan”. -el nurane
Tidak kira di mana saja berada, semua ada kebaikan dan keburukan, tetapi jika kita leka atau lalai, mungkin kita akan terus hanyut dengan arus tanpa adanya gelombang lain yang memungkinkan kita terus tenggelam di tengah perjalanan hidup.
Bermain dengan galak akal menceduk ilmu di universiti Al-Azhar As-Syarif benar-benar suatu titip yang berharga, meskipun keputusan imtihan tersadung hingga menjadi orang yang terbelakang dan ketinggalan, tetapi nilai ibrah (pengajaran) dari kegagalan membuatkan diri menghargai pancaran nur dari ilmu Tuhan, mengenali selaut kesabaran, dan menatang sebuah pengorbanan. Suka-duka silih berganti bak roda perjalanan hidup, adakalanya di atas dan ada ketikanya di bawah membawa selaksa kesedihan. Namun, semua itu bukan satu alasan untuk tenggelam tanpa terus mencapai ‘najah’ dalam perjuangan.
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata “Innalillahi wa inna ilaihi raji ‘un” (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. –al-Baqarah: 155-157
مصر( - مmehnah, ص - sabar, ر - redha) Itulah tali arus perjalanan sebagai seorang perantau di Ardhu Kinanah. Keseronokan yang dikecapi sebenarnya telah dinanti oleh ujian sama ada keperitan atau kesedihan. Tidak hairanlah sekiranya pepatah ‘suka membawa duka’ itu benar-benar terjadi. Hanya kesabaran yang dapat bertahan berjaya menjadikan duka itu hakikatnya ‘teropong’ kesedaran atas kelemahan diri seorang hamba. Perjalanan hidup ini bukan diuji seperti sirah Nabi, bukan juga dibiarkan tanpa petunjuk dan hidayah, tetapi pengajaran dari pengalaman yang dikecapi sendiri menyedarkan, malah segala mehnah dilalui dengan kesabaran yang menetapkan redha dalam diri.
“Setiap hamba perlu mempersaksikan bahawa setiap zarah dalam dirinya, sama ada zahir atau batin berhajat kepada Allah secara mutlak. Allah-lah yang menguruskan segala-galanya, Dia-lah yang memperelokkan dan memberi mereka kejayaan. Maka, berhasillah dalam hatinya penyesalan tersendiri yang tidak menyerupai dengannya sesuatupun. Melihat dirinya seolah-olah seperti bekas yang telah dihentak dan dikemekkan dengan kaki. Bekas itu tidak memberikan manfaat lagi dan tidak boleh digunakan melainkan setelah dibentuk semula”. – Ibn Qayyim
Alhamdulillah wa masya-Allah...
No comments:
Post a Comment