gambar hiasan je... |
Membina mahligai bahagia memerlukan satu pengorbanan yang besar dalam kehidupan agar terciptanya insan berakhlak mulia. Ajaran-ajaran Islam yang diterapkan dalam pembinaan keluarga mithali merupakan tuntutan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatan (daripada zina) serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatan, dan orang-orang lelaki yang banyak menyebut nama Allah serta orang-orang perempuan yang banyak menyebut nama Allah. Allah telah menyediakan bagi mereka semua keampunan dan pahala yang besar (syurga)”. – al-Ahzab: 35
Pasangan suami isteri yang mengecapi kebahagiaan di dunia dengan mendapat redha Allah Taala memberi keuntungan besar di akhirat kelak kerana pasangan mithali yang terpilih ditempatkan di dalam syurga secara berpasangan dengan pasangannya ketika di dunia lagi.
10 perkara yang mesti ikuti untuk menjadi pasangan suami isteri dunia akhirat:
1. Pasangan yang mengamalkan ajaran Islam
Pasangan suami isteri yang terpilih seharusnya mengamalkan ajaran Islam dalam titip perjalanan hidup mereka. Islam bukan sekadar nama, tetapi perlaksanaan ajaran agama perlu diterapkan agar cara hidup yang dilalui tidak menempuh masalah. Pasangan suami isteri yang hidup dengan cahaya Islam bukan sahaja menjadikan rumah tangga mereka bertambah harmoni, malah diberkati Allah. Maka, zuriat yang wujud darinya melahirkan ‘generasi pertengahan’ yang adil dalam urusan dunia akhirat.
“Dan sungguh, (agama tauhid) inilah agama kamu, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku”. – al-Mu’minun: 52
2. Menjadi pasangan yang beriman
Iman bukan sesuatu yang boleh diwarisi. Keimanan itu terletak di dalam lubuk hati yang dihiasi dengan ketakwaan dan keyakinan kepada Allah Taala. Pasangan yang menyedari hakikat iman sebenarnya berada dalam ketenangan, biarpun terkadang menimbulkan pelbagai masalah dalam rumahtangga. Namun, pergolakan dalam rumah tangga hanyalah asam garam kehidupan. Percubaan dan ujian dalam menjalani kehidupan berpasangan sebagai suami isteri sebenarnya merupakan nikmat yang akan dinilai oleh Allah Taala untuk mengangkat keimanan seseorang.
Pasangan suami isteri yang benar-benar percaya dan beriman kepada Allah Taala, para malaikat, kitab suci Allah, para nabi dan Rasul serta ciptaan-Nya menambahkan lagi ketakwaan mereka. Memahami hakikat kehidupan yang sementara menjadikan mereka bersyukur dengan kurniaan Allah Taala.
3. Pasangan yang Taat, patuh dan beramal dengan ajaran Islam
“Katakanlah (Muhammad), “Setiap orang berbuat sesuai dengan pembawaannya masing-masing.” Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya”. – al-Isra’: 84
Pasangan suami isteri yang layak merasai keindahan taman indah di dalam syurga semestinya mereka yang patuh dan taat dengan suruhan Allah Taala, lantas mereka beramal dengan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang. Malah, mereka tidak sekali-kali meragui akan ajaran Islam yang telah ditetapkan oleh Allah Taala. Mereka akan segera mengucapkan “Kami dengar ya Allah, dan kami patuhi”.
“Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta takut kepada Allah dan bertakwa kepada Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan”. – an-Nur: 52
4. Pasangan yang tunduk dan merendah diri kepada Allah
Hamba yang tunduk dan merendah diri bukan sahaja terhalang daripada sikap angkuh, tetapi juga sikap-sikap negatif yang cenderung kepada perbuatan jahat yang boleh memudaratkan diri dan masyarakat sekeliling.
“Maka, alangkah eloknya sekiranya mereka berdoa kepada Kami (Allah) merendah diri ketika mereka ditimpa azab dari Kami? Tetapi sebenarnya hati mereka keras, dan syaitan pula memperelokkan pandangan mereka terhadap apa yang mereka lakukan”. – al-An’am: 43
Sujud yang dilakukan di dalam solat dengan kusyuk menjadikan hati mengakui kelemahan dan kehinaan sebagai hamba di sisi Allah Taala. Merendah diri bukan bermakna seseorang itu dihina sesama manusia, tetapi kerendahan hati sebagai hamba kepada Maha Pencipta dengan cara berdoa dan hanya berharap kepada Allah Taala sahaja supaya hati yang keras dapat dilembutkan. Maka, dengan membesarkan dan mengagungkan Allah Taala dengan melakukan solat pada waktu siang atau malam merupakan cara terbaik untuk mendapat kesucian hati.
5. Pasangan yang bersikap jujur, ikhlas dan amanah terhadap diri-sendiri serta masyarakat
“Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketidakjujuran) pandangan mata seseorang, serta mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati”. – al-Ghafir: 19
Kadangkala, manusia lupa tentang amanah diri. Mereka menganggap bahawa amanah itu ditafsir apabila manusia memberi sesuatu kerja. Apabila berada seorang diri, tanggungjawab yang dipikul tidak dilaksanakan dengan jujur. Ketidakjujuran mereka terhadap diri-sendiri ibarat ‘api memakan kayu api, setelah bara menghangat, cuma tinggal abu’, Ia adalah suatu kerja yang sia-sia di sisi Allah Taala.
“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging, apabila elok daging tersebut, maka eloklah jasad tersebut keseluruhannya, apabila ia rosak, maka rosaklah jasad keseluruhannya, ketahuilah bahawa ia adalah hati”. (Sahih Muslim)
Walaupun sifat jujur dan amanah tidak dapat dilihat dengan mata zahir, tetapi ia tetap terpancar di wajah kerana ia lahir dari hati yang ikhlas. Allah mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati dan sentiasa menilai perbuatan yang dilakukan tersebut dengan penilaian yang berbeza mengikut amalan yang dilakukan.
“Dan tidakkah mereka ketahui bahawa Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka pamerkan?”. – al-Baqarah: 77
6. Pasangan yang menjaga kesucian diri dari sebarang maksiat
Suami isteri yang menjaga kehormatan diri-sendiri atau pasangan mereka hakikatnya memelihara kesucian rumahtangga yang dibina. Bahana fitnah tidak akan dapat memisahkan pasangan yang sentiasa berwaspada dengan memelihara diri mereka daripada sebarang maksiat atau perkara yang cenderung kepada maksiat.
"Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)"-an-Nur: 31
Memelihara diri daripada maksiat yang boleh membawa kepada keaiban merupakan benteng kukuh kepada pasangan suami isteri. Keaiban suami atau isteri tidak wajar disebarkan kerana ia boleh memusnahkan kebahagiaan yang dikecapi. Malah, seseorang yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah Taala menyakini bahawa segala gerak-geri seperti pandangan mata dan anggota badan itu sentiasa diawasi oleh para malaikat yang akan mencatat amalan yang dilakukannya sama ada berseorangan ataupun ramai.
"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan (bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliah dahulu..." - al-Ahzab:33
7. Pasangan yang saling nasihat-menasihati
Tempoh masa bergelar suami isteri adalah jangka masa yang tidak boleh ditentukan. Akad yang terpatri pada malam perkahwinan mengikat satu janji yang perlu dilaksanakan. Pasangan yang saling memahami dan peka dengan tanggungjawab mereka akan saling nasihat-menasihati supaya pasangan mereka bukan sahaja disenanginya, tetapi juga orang di sekeliling mereka.
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin”. – az-Zariyat: 55
Suami memainkan peranan penting dalam menerajui rumahtangganya kerana suami adalah ketua keluarga. Jika baik seseorang ketua menerajui sesebuah institusi, maka akan baiklah ahli-ahli di dalamnya.
Peribadi muslim yang ditonjolkan oleh para suami akan memacu para isteri serta anak-anak mereka daripada tidak membuka keaibannya dan keluarga mereka. Keterbukaan untuk mentarbiah keluarga menjadikan isteri serta anak-anak memahami perkara yang dilarang oleh Islam seperti; mendedahkan aurat dan kelemahan mereka sesuka hati yang membawa kepada penyebaran fitnah.
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana”. – Mumtahinah: 5
Maka, pasangan suami isteri bukan sahaja akan lebih menerima kelemahan yang ada pada diri masing-masing tanpa membandingkan kelebihan yang ada pada orang lain, tetapi juga akan terbina ‘Baitul Muslim’ yang diimpikan.
8. Menjadi pasangan yang pemurah
Sebatang pohon yang berbuah lebat semestinya diberi baja yang baik, disiram dan dijaga dengan rapi seumpama manusia yang pemurah mewakafkan hartanya kepada orang-orang miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira balasan. Pasangan suami isteri yang pemurah bukan bererti mereka membelanjakan harta dengan sesuka hati, sebaliknya harta mereka disedekahkan kepada kebajikan yang tidak menjurus kepada maksiat. Justeru itu, tabung kemudian hari diperbanyakkan dengan sedekah selain beramal soleh kerana ia mengangkat darjat seseorang dan menolak bala bencana serta dapat menyucikan hati dari sombong dan ego.
“Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta bendanya di jalan Allah, ibarat menanam sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai menghasilkan seratus butir. Begitulah Allah melipatgandakan pahala bagi orang-orang yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui”. – al-Baqarah: 261
9. Berpuasa menahan pasangan daripada nafsu jahat
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya dia (syaitan) menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar. Kalau bukan kerana kurniaan Allah, nescaya tidak seorangpun di kalangan kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, teta;pi Allah membersihkan bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui”. – an-Nur: 21
Apabila nafsu melebihi tahap akal, maka kecelaruan fikiran akan terjadi disebabkan akal dan nafsu bermusuhan. Oleh itu, dengan berpuasa, amalan itu dapat mendidik nafsu dari melakukan perbuatan jahat seperti iri hati dengan kebahagiaan orang lain, prasangka buruk terhadap suami atau isteri sendiri dan sebagainya yang boleh membawa kepada kehinaan di dunia mahupun di akhirat. Keseronokan dunia juga tidak akan dapat mempengaruhi seseorang kerana dengan berpuasa ia bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga menjadi benteng kepada seseorang untuk melakukan maksiat.
Seorang ulama’ bermadah:
“Nafsu itu berkeinginan apabila kamu yang membawa kepada keinginan tersebut. sedangkan, apabila kamu kembali kepada (memadai dengan sedikit), maka ia akan memadai baginya (nafsu)”.
10. Pasangan yang sabar dengan ujian dan cabaran hidup
Kesabaran tinggi yang dicipta dalam diri pasangan menjadikan rumahtangga mereka tenteram dan bahagia. Pasangan yang tetap sabar dengan ujian dan cabaran hidup dapat meneutralkan pelbagai keadaan walaupun dalam keadaan dukacita.
Seorang suami harus bersikap sabar terhadap karenah isteri jika kadangkalanya terdapat sesuatu perkara yang kurang menyenangkan. Namun, di sebalik kekurangan pada diri seorang isteri, dia juga mempunyai kelebihan dan kebaikan.
“Seorang mukmin (suami) tidak boleh membenci seorang mukminah (isteri), jika dia tidak menyukai lantaran sesuatu peranganinya, maka dia akan senang pada perangainya yang lain”. (HR Muslim)
Seorang isteri juga perlu sabar melayan karenah suaminya sepertimana suaminya sabar dengan kekurangan yang ada pada dirinya. Membantah dan melawan merupakan satu akhlak yang buruk bagi isteri kerana sikap yang ditonjolkan oleh isteri solehah sentiada memberi ketenangan kepada suaminyadan mengikut perintahnya selagi ia tidak bertentangan dengan syara’.
Pasangan yang sentiasa bermuhasabah terhadap sesuatu masalah atau pertelingkahan yang timbul di antara mereka berdua bukan sahaja dapat mewujudkan suasana harmoni, malah lebih mengeratkan lagi hubungan rumahtangga. Sesungguhnya, syurga para isteri terletak di bawah telapak kaki suami.
“Ada tiga orang yang solatnya itu tidak dapat melebihi kepalanya walaupun hanya sejengkal iaitu;
1) Seorang lelaki yang menjadi imam terhadap suatu kaum, sedangkan kaum itu tidak suka terhadapnya.
2) Seorang isteri yang tidur malam, sedangkan suaminya murka kepadanya.
3) Dua saudara yang saling bermusuhan”.
(HR Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
11. Pasangan yang sentiasa mengingati Allah Taala dalam semua keadaan
Ibnu Qayyim bermadah:
“Syaitan itu berpaut pada hati anak Adam, maka apabila seseorang itu leka dan lalai, dia (syaitan) akan meragu-ragukannya. Tetapi apabila dia berzikir mengingati Allah, syaitan itu akan lari mencari perlindungan”.
Ibadah yang paling mudah dilakukan adalah dengan mengingati Allah Taala dalam apa keadaan sekalipun, ironinya manusia akan mengingati Allah tatkala berada dalam dimensi kesusahan dan seringkali lalai mengingati-Nya dan bersyukur setelah mendapat kesenangan.
“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hati dengan khidmat dan penuh rasa takut, dengan suara sederhana, tidak keras menerking di waktu pagi dan petang. Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai”. –al-A’raf: 205
Sikap sedemikian inilah yang mendatangkan kemurkaan Allah Taala, sedangkan manusia mengharapkan keberkatan, kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga daripada Allah Taala. Maka, dengan berzikir dan sentiasa mengingati Allah Taala akan tercipta satu taman di dalam hati yang tenang dan indah tanpa dipengaruhi oleh sebarang hasutan.
“…sebab itu, ingatlah kepada-Ku supaya Aku ingat pula kepadamu. Dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah mengingkari nikmat-Ku”. –al-Baqarah: 152
** Selamat pengantin baru khas untuk abangku Arif Fadli & kak Zalmimazura.
“Ya Allah berkatilah mereka berdua. Kurniakan mereka zuriat yang baik di sisi-Mu, seakan harapan Nabi Zakaria: “Ya Tuhanku, berilah aku keturunan yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa”. Ya Allah, jadikanlah mereka pasangan dunia akhirat yang taat dan patuh kepada-Mu. Malah, jadikanlah mereka pasangan yang menyeru kepada kebenaran, bukan membawa kepada kemaksiatan. Amen”
ustazah ni bila plk?
ReplyDeletejemput semua ahli KPKM deh.