Malangnya, muda-mudi galak menyambut kemeriahan malam merdeka tanpa menghayati erti ‘kemerdekaan’ sebenar. Barangkali malam merdeka ini adalah malam gemilang bagi golongan remaja yang berstatus bohsia dan bohjan. Mana tidaknya, pil-pil khayal dan kondom bertebaran di merata tempat seperti sampah sarap yang menghiasi jalanan. Mulalah malam yang dilaungkan kalimah ‘merdeka’ telah membuka lembaran bagi mereka untuk melakukan aksi songsang. Mata masyarakat mula disajikan dengan tarian lucah lesbian dan gay, ke mana hilangnya budaya ketimuran yang kuat dipegang oleh masyarakat Malaysia dahulu?
Pasangan yang hangat bercinta kononnya hadir untuk menghayati pengorbanan pejuang negara, malah datang dengan harapan untuk mencipta sejarah. Malam merdeka pula dianggap ‘malam mengawan’ bagi mereka seolah-olah sejarah yang dicipta mereka berakhir dengan ‘kenikmatan’. Mat-mat rempit pula mula menunjukkan belang, siapa berhak ditakhtakan ‘HERO REMPIT’. Semangat Patriotik seolah-olah dipamerkan melalui kibaran jalur gemilang bersama bohsianya.
Daripada ‘Abdullah Ibn ‘Amr Ibn Al-‘As r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya tidak mengikut apa yang aku bawa.”- Hadith Hasan Sahih
Persoalan yang perlu diambil serius oleh masyarakat hari ini adalah kesan budaya ‘ketidakpedulian’. Masyarakat hari ini seakan lali dengan fenomena yang berlaku, namun sama sekali tidak terkesan dengan senario yang ditonjolkan, meskipun maksiat berlaku di depan mata. Kesan-kesan kerosakan pemikiran yang dibawa oleh pemikir liberalisi Islam nampaknya telah menular dan menghasilkan generasi berfikrah seperti mereka. Kepincangan akidah jelas sama sekali berpunca daripada virus-virus liberal sehingga simptom-simptom tersebut menyelewengi fitrah manusia.
Rasulullah s.a.w mengingatkan: “Tidaklah satu kaum yang di kalangan mereka terdapat orang-orang yang melakukan maksiat sementara kaum itu pula lebih kuat dan lebih ramai daripada orang-orang yang melakukan maksiat, tetapi mereka pula tidak menghalangnya, melainkan Allah meliputi mereka semua dengan seksaan”- Musnad Ahmad
Maka, merdekakah kita dengan fenomena yang berlaku? Penghayatan malam merdeka pula tidak lagi semantap dulu kerana jiwa remaja haru-biru dengan kejahilan kota metropolitan. Apa yang tergambar di fikiran kita, hiburan seakan memecahkan gegendang telinga, namun itulah yang disukai oleh remaja. Tengok saja dataran merdeka yang dipenuhi oleh golongan muda-mudi, tiada lagi kesayuan dan semangat patriotik terpahat di jiwa mereka, sebaliknya mereka lebih mendambakan hiburan semata-mata. Jiwa remaja pula seakan memberontak untuk melakukan perkara terkutuk walaupun ia jelas haram dan memalukan.
Lantaran itu, masyarakat Malaysia tidak mampu bernostalgia dengan pengorbanan pejuang lampau, tetapi titipan patriotik perlu ada supaya malam merdeka tidak dikotori dengan perkara terkutuk. Merdeka bukan bererti bebas daripada melakukan perkara yang diharamkan, sebaliknya ‘merdeka’ daripada cengkaman fikrah songsang dan maksiat kerana perbuatan maksiat itu mencemarkan Islam seakan tiada lagi masyarakat yang bertamadun. Sejarah Islam tidak pernah menipu kita, tetapi kita sendiri perlu menghayati di sebalik sirah tersebut. Hakikatnya, masyarakat Islam merupakan pejuang pertama yang memperjuangkan kemerdekaan dan kita merupakan mata rantai kepada perjuangan Islam. Kebebasan itu perlu untuk membebaskan manusia daripada bertuhankan manusia tidak kira berbentuk ideologi atau sebagainya.
No comments:
Post a Comment