TUMPUKAN PERKARA YANG PENTING
Wanita yang berpendirian dan menjaga maruah tidak sesekali melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, lebih-lebih lagi perkara yang menjatuhkan aibnya sebagai seorang yang bergelar hawa. Sebaliknya, Muslimah sejati sedar akan tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya supaya gerak-geri mereka tidak menjadi fitnah terhadap dirinya dan juga sekelilingnya. Mereka hanya mempunyai waktu tertentu sahaja untuk bergelak ria, bermain-main dan bergurau senda, bahkan mereka lebih cakna dengan urusan agama, individu muslim, keluarga, masyarakat dan umat Islam yang dibajai dengan roh Islam dan disemai dengan sakhsiah yang mulia selaku wanita muslimah.
Sabda Rasulullah s.a.w: : “Sesungguhnya Allah Taala Maha Mulia dan Dia menyukai orang-orang yang memiliki kemuliaan dan mencintai perkara-perkara yang utama dan membenci perkara-perkara yang remeh-temeh” (H.R Thabarani)
PENGARUH CINTA KERANA ALLAH
Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah Taala berfirman: Pastilah mendapat cinta Ku orang-orang yang mencintai kerana Ku, selain mengunjungi kerana Ku dan saling memberi kerana Ku.”
Islam agama syumul yang datang untuk melahirkan masyarakat teladan yang saling sayang-menyayangi, bukan bermusuh-musuhan. Semua muslim adalah bersaudara, malah di atas posisi inilah wujudnya muslim dan muslimah yang saling menjaga amanah dengan mutiara nasihat. Maka, Islam menjadikan hubungan cinta di antara umat Islam sebagai syarat keimanan sehingga jalinan ukhuwwah Islamiah antara mereka terbina kerana Allah. Sebaliknya, cinta yang dibajai dengan maksiat akan menambahkan noda-noda di dalam diri hatta terhijab dari keredhaan Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud : “Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepadamu satu hal yang apabila kamu mengerjakannya, maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu.” (H.R Muslim)
SEDERHANA DALAM BERFESYEN DAN BERPENAMPILAN
Wanita muslimah yang komitmen dengan petunjuk agama adalah individu yang sederhana dalam semua aspek, khususnya dalam berfesyen dan berpenampilan, bahkan mereka tetap menitikberatkan penampilannya agar sentiasa menarik, bersih, tidak keterlaluan dan tidak pula bermewah-mewahan. Mereka sesekali tidak mengikuti mode yang tidak mengenal batas syara’.
Firman Allah Taala: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan dan tidak pula kikir. Dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.” (al-Furqan: 67)
Firman Allah Taala: “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri yang mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (al-Ahzab: 59)
No comments:
Post a Comment