Notis Hak Cipta
PERHATIAN:
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada JUITA MUSA. Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog JUITA MUSA ini. Harap maklum. Terima kasih. © JUITA MUSA
PERHATIAN:
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini perlulah mendapat izin daripada JUITA MUSA. Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog JUITA MUSA ini. Harap maklum. Terima kasih. © JUITA MUSA
Tuesday, July 28, 2009
AURA vs AURAT
Kalamullah telah menyebut: "Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)"-an-Nur: 31
"Aurat" yang didefinasikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka adalah kemaluan dan bahagian tubuh yang tidak boleh kelihatan atau wajib ditutup menurut hukum Islam. Sebaliknya, aurat dalam bahasa Urdu pula bererti "wanita". Manakala, "aura" pula merupakan satu tarikan 'interesting' yang mempunyai gaya pesonafikasi tersendiri, di mana ia menitik-beratkan soal personaliti.
Soal aurat dan aura ini adalah soal persepsi. Tidak dinafikan, personaliti melambangkan sakhsiah diri, namun sanggupkah kita menggadaikan maruah Islam semata-mata untuk mengecapi aura barat? Bahkan, tidakkah kita menyedari bahawa pembawakan personaliti diri dengan tidak menghiraukan soal dosa dan pahala itu memartabatkan maruah diri? Ironinya, aura yang didambakan, aurat pula tergadai. Malangnya, pada sekian lama kita memperkatakan soal aurat, jarang sekali kita mendengar ulasan atau analisis berhubung dengan aura yang memberi kesan dalam jiwa manusia. Walhal, aura inilah salah satu helah yang boleh mengelirukan fikrah umat Islam, bukan sahaja terkesan kepada golongan dewasa tetapi juga golongan kanak-kanak.
Azali lagi manusia terpedaya dengan tipu helah dunia, kain yang yang dahulunya tebal kini bertukar jarang dan nipis seperti plastik, juga fabrik seolah-olah tidak mencukupi untuk dijadikan sehelai pakaian yang benar-benar menutup aurat, kononnya cara hidup kontemporari dan mengikut trend tersebut meningkatkan martabat seseorang muslim atau muslimah gamaknya. Maka, sukar untuk kita membezakan antara wanita muslim atau non-muslim kerana pakaian yang dikenakan langsung tidak melambangkan ciri-ciri seorang muslimah. Bahkan, aura 'up to date' menjerumus manusia ke sempadan yang tidak berkesudahan kerana tiada lagi nilai-nilai Islam yang diperkenalkan. Malah, ada kalanya membatasi limit halal-haram tanpa adanya rasa segan dan malu bukan sahaja kepada masyarakat yang menjadi pemerhati tetap, tetapi juga terhadap diri-sendiri. Sepertimana kalam yang ditutur oleh Saidina Ali bin Abi Talib KWH: "Penghabisan kepada maruah (kehormatan atau harga diri) ialah seseorang itu malu kepada dirinya".
Kewajipan menutup aurat telah disepakati oleh para ulama', namun masih ada lagi yang memutar-belitkan soal aurat kerana lebih mementingkan aura yang dapat meng'exposed'kan diri mereka dalam melengkapi kehidupan. Oleh itu, umat Islam harus ekstra berhati-hati dan berwaspada dalam menyingkapi hal ini, terutama terhadap pihak-pihak yang mengambil kesempatan bermain dengan 'kata-kata' yang mengatakan "definisi aurat dan aura belum jelas". Bagaimana keadaan umat Islam hari ini? Barangkali, kejatuhan akhlak dan terjadinya kes-kes yang tidak diingini disebabkan oleh ketidakfahaman mereka terhadap nilai-nilai Islam atau mereka sengaja tidak ingin memahami apa itu kehidupan Islam, sedangkan Islam telah menggariskan panduan hidup yang sempurna, bukan sahaja dari segi berpakaian dan berpersonaliti, tetapi juga dalam aspek kehidupan.
Walau bagaimanapun, kita sebagai umat Islam seharusnya menyedari kekangan ini lebih awal kerana Barat mempunyai metod tersirat untuk menjatuhkan martabat Islam, terutama yang melibatkan martabat wanita, anak-anak dan keluarga. Jika masih ada umat Islam yang berdebat dan bertekang lidah di sebalik kata-kata, maka kedaulatan Islam akan terhina dek ketidakpekaan umat Islam itu sendiri. Oleh itu, apakah sebenarnya yang boleh dilihat, dipandang dan dipamerkan bai seorang wanita atau lelaki?
PERLUKAH AURA DAN AURAT DALAM TUNTUTAN ISLAM?
Aura vs aurat. Inilah tahap yang membezakan kita berilmu dan beramal, berakal dan berhikmah. Mungkin apa yang kita maksudkan aurat ini apabila kita melihat seorang wanita menutup aurat, tetapi masih lagi terbelah sana-sini tanpa segan silu mengatakan bahawa pakaian yang dikenakan tidak melanggar syara', bahkan masih ada lagi yang menafikannya, sedangkan jelas mereka mengenakan pakaian yang terlalu sendat seperti 'nangka yang dibalut'. Cuba kita bayangkan, adakah fenomena sedemikian dianggap sempurna? Tidakkah kita menghayati sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: "Wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya bertelanjang untuk menarik perhatian lelaki, yang melenggok-lenggokkan tubuhnya, yang kepalanya seperti punuk unta, mereka itu tidak akan masuk syurga". Ataukah mungkin aura kerohanian Islam yang kian pudar sepudar kabus pagi yang menutupi dedaunan yang dimaksudkan? Adakah aura yang kita dambakan atau aurat yang kita pertahankan?
Firman Allah Taala: " Dan barangsiapa buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat nanti dia akan buta dan tersesat jauh dari jalan (yang benar)".
Dalam Islam, intipati utama tentang soal aurat jauh lebih luas, tegas dan jelas. Berbalik 180 darjah jika dibandingkan soal aura yang dikenalkan di Barat. Penjelasan tentang kesyumulan Islam bukan sahaja berkaitan dengan aurat semata-mata, tetapi juga berkait rapat soal aura, yang mana Islam mempunyai auranya yang tersendiri tanpa menggadaikan maruah Islam. Bagi mereka yang masih suka bermain dengan kata-kata dan memutarbelitkan hukum yang telah sedia ada, sebaiknya kita bertanya dengan hati nurani. Terkesankah kita jika semua yang sedang menayangkan aurat itu adalah saudara kita? Nah, di mana sensitiviti kita tentang masalah ini, atau kita memang tidak mempunyai hati? Dengan menutup aurat, wanita Islam mudah dikenali dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan. Sebaliknya, jika mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya, hatta berlakulah perkara-perkara sumbang dan juga akan timbullah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri mereka.
Firman Allah Taala: " Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu dan isteri-isteri orang-orang mukmin, hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu agar mereka lebih mudah dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang".
Mu'awiyah bin Haidah mengatakan: "Aku pernah bertanya; Ya Rasulullah, bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?" Baginda menjawab: "Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau terhadap hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi; "Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat?" Baginda menjawab: "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak boleh melihat aurat orang lain dan dia pun tidak boleh melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi; " Ya Rasulullah, bagaimanakah sekiranya orang mandi sendirian?" Baginda menjawab: " Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain". (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Perkara yang harus ditundukkan pandangannya ialah aurat, kerana Rasulullah s.a.w telah melarangnya sekalipun antara lelaki dengan lelaki atau antara perempuan dengan perempuan sama ada dengan syahwat ataupun tidak.
Sabda Rasulullah s.a.w: " Seseorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan begitu juga perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain, dan tidak boleh seorang lelaki bercampur dengan lelaki dalam satu pakaian, dan begitu juga perempuan dengan perempuan lain bercampur dalam satu pakaian". (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi).
Semua aurat haram dilihat atau disentuh, kecuali dengan syarat dalam keadaan normal (tidak terpaksa dan tidak memerlukan). Jika dalam keadaan terpaksa seperti untuk mengubati, maka 'haram' tersebut terhazaf, tetapi dibolehkan melihat dengan syarat tidak akan menimbulkan fitnah dan tidak membangkitkan syahwat. Sekiranya terjadinya fitnah atau syahwat, maka 'kebolehan' tersebut juga terhazaf kerana untuk menutup pintu bahaya. Aurat perempuan antara hubungannya dengan lelaki lain atau perempuan yang tidak seagama ialah seluruh badannya, kecuali muka dan dua tapak tangannya, yang mana ia dibolehkan jika terdapat suatu kepentingan untuk bekerja, mengambil dan memberi. Oleh kerana itu, perempuan diperintahkan untuk menutupi anggota yang tidak harus dibuka dan diberi rukhsah untuk membuka anggota yang biasa terbuka dan mengharuskannya dibuka, justeru syariat Islam adalah satu-satunya syariat yang toleransi.
Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka akan menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu lelaki fasik dan yang suka memfitnah. Sebaliknya kepada muslimah yang mementingkan aurat, di mana secara lahiriah, mereka itu dikenali sebagai wanita yang terpelihara (afifah) yang tidak mungkin diganggu oleh golongan pengfitnah atau golongan munafik. Maka, jelaslah bahawa aura Jahiliah lebih diutamakan berbanding aura Islam kerana dewasa ini, masyarakat seakan lupa menterjemah soal aurat apabila berdepan dengan aura 'fesyen terkini', namun ia merupakan satu 'illah (alasan) semata-mata. Bukan ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau kerana tidak percaya kepada mereka sebagaimana anggapan masyarakat, tetapi perempuan yang suka menampakkan perhiasannya dan berjalan dengan penuh bergaya dan bicaranya dibuat-buat merupakan aura syaitan yang memanah perhatian lelaki.
Firman Allah Taala: "Janganlah kamu tunduk (melemahkan suara) dalam berbicara sehingga bangkit penyakit nafsu bagi orang yang mempunyai penyakit hati". al-Ahzab: 32
TABARRUJ DARI AURA JAHILIAH
Firman Allah Taala: " Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan (bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliah dahulu..." - al-Ahzab:33
Tabarruj yang ditonjolkan sebenarnya ialah suatu yang terbuka dan terdedah untuk dilihat mata. Mahligai disebut 'buruj' seperti ayat yang mengatakan 'burujim musyayyadah' iaitu tempat perjalanan bintang yang disebut buruj kerana ketinggiannya kelihatan jelas bagi orang yang melihatnya. Zamakhsyari berkata bahawa tabarruj itu ialah memaksa diri untuk membuka sesuatu yang seharusnya disembunyikan.
Hakikatnya, seorang muslimah mempunyai budi pekerti yang dapat membezakan antara perempuan kafir atau Jahiliah. Maka, di sinilah terbitnya aura muslimah sejati, yang mana mereka pandai menjaga diri, tunduk terhormat dan pemalu. Sebaliknya, moral perempuan Jahiliah senang menunjuk-nunjuk perhiasannya (tabarruj) dan suka menggunakan aura kecantikan untuk menarik perhatian lelaki walaupun dengan apa cara sekalipun. Bahkan, perempuan Jahiliah yang tidak mempunyai harga diri mengaburi mata masyarakat dengan aura yang ada padanya, namun tabarruj itulah yang dinilai oleh mereka.
Perkara yang mengeluarkan seorang wanita muslimah dari batas tabarruj yang disebut kesopanan iaitu dengan menepati hal-hal sepertimana berikut:
a) Ghadh-dhul Bashar (menundukkan pandangan)
Ini kerana perhiasan wanita yang termahal ialah sifat malu, sedang bentuk malu yang lebih tegas ialah menundukkan pandangan. Sepertimana Firman Allah Taala: " Katakanlah kepada orang-orang mukmin perempuan hendaklah mereka itu menundukkan sebahagian pandangannya".
b) Tidak bergaul bebas sehingga terjadi persentuhan antara lelaki dan perempuan.
Sepertimana Rasulullah s.a.w pernah bersabda: " Sesungguhnya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum dari besi lebih baik daripada dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya". (Riwayat Thabarani, Baihaqi)
c) Pakaiannya harus selaras dengan tata kesopanan Islam kerana pakaian menurut tata kesopanan Islam ialah terdapatnya sifat-sifat sebagaimana berikut:
1) Harus menutup semua badan, selain muka dan kedua tapak tangan.
2) Tidak tipis dan tidak membentuk badan sehingga nampak kulit kerana sesuai apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w: " Sesungguhnya termasuk ahli neraka, iaitu perempuan-perempuan berpakaian tetapi bertelanjang, yang senderung kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya". (Riwayat Muslim)
3) Tidak memperhatikan batas-batas anggota tubuh dan menampakkan bahagian yang cukup menimbulkan fitnah. Sekalipun tipis seperti pakaian yang dianggap mode kebudayaan tubuh dan syahwat (atau dengan kata lain pakaian kebudayaan barat) merupakan suatu aura mode yang cukup dapat membangkitkan syahwat.
4) Bukan pakaian khusus yang dipakai oleh lelaki di zaman kita sekarang ini kerana Rasulullah s.a.w pernah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai perempuan. Begitu juga Rasulullah s.a.w pernah melarang perempuan memakai pakaian lelaki dan lelaki memakai pakaian perempuan.
5) Bukan pakaian khusus yang dipakai oleh orang-orang kafir seperti Yahudi, Kristian dan penyembah-penyembah berhala kerana menyamai mereka itu dilarang dalam Islam agar umatnya mempunyai ciri-ciri tersendiri sama ada dalam hal-hal yang zahir atau batin. Sabda Raulullah s.a.w: " Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia itu dari golongan mereka". (Riwayat Thabarani).
6) Khusyu' dan bersahaja, baik dalam cara berjalan atau bicaranya, bahkan jauh dari pergerakan yang tidak baik pada tubuh mahupun wajahnya kerana pergerakan yang dibuat-buat adalah termasuk perbuatan perempuan-perempuan lacur dan bukan akhlak seorang muslimah.
7) Tidak bermaksud untuk menarik perhatian kaum lelaki supaya mereka mengetahui apa yang disembunyikan sama ada bau-bauan ataupun dengan bunyi-bunyian. Sebagaimana Firman Allah Taala: " Janganlah perempuan-perempuan itu memukul kakinya di tanah supaya diketahui apa yang mereka sembunyikan dari perhiasan mereka". - an-Nur: 31
Natijahnya, masyarakat Islam tidak akan luput jika nilai-nilai akhlak Islam direalisasikan dengan mementingkan keperadaban Islam dalam membentuk peribadi muslim terlaksana. Bahkan, mencakna persoalan mengenai menutup aurat serta menjaga muslimah, biarpun hanya sedikit sahaja perempuan diberikan rukhsah (keringanan), misalnya perempuan sudah tua. Maka, jelaslah kepada kita bahawa Islam mementingkan aurat kerana dengan memelihara aurat, secara automatiknya, aura seseorang muslim atau muslimah itu terserlah tanpa perlu mengorbankan maruah diri dan Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
eyes of views
Followers
SYED QUTB:
"Kita akan merasa sempit apabila kita memikirkan kitalah yang akan memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini adalah satu mata dari mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang menyambung perjuangan kita dan orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah GENERASI MUDA".
10 sebab hati buta:
"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang yang buta ialah hati yang di dalam dada". -al-Hajj: 46
1) Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah s.a.w, tetapi kamu tinggalkan Sunnahnya.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
5) Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
10) Kamu kebumikan mayat-mayat manusia, tetapi kamu tidak mengambil pelajaran daripadanya.
*Maka, inilah sebabnya kenapa doa kita tidak dimakbulkan...
1) Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan haq-Nya.
2) Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah s.a.w, tetapi kamu tinggalkan Sunnahnya.
3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
5) Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6) Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
7) Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
10) Kamu kebumikan mayat-mayat manusia, tetapi kamu tidak mengambil pelajaran daripadanya.
*Maka, inilah sebabnya kenapa doa kita tidak dimakbulkan...
No comments:
Post a Comment